EXECUTIVE SUMMARY IN MALAY

Inflection Point International

 

ABOUT US

This report was created by

thanks to support from 

with additional support from 

Rumusan eksekutif

Ketika kawalan pergerakan pandemik meluas di serata dunia pada awal 2020, kadar pengiklanan menjunam dan para penganalisis media mencanangkan “kejadian tahap kepupusan” bakal melanda organisasi berita.

Di SembraMedia, kami memandang serius impak krisis ke atas media bebas natif digital yang merupakan rakan kerja utama kami. Oleh itu pada awal 2021 kami melancarkan projek kajian skala besar untuk memahami pengalaman pemain media baharu serta perubahan yang berlaku semenjak kajian Inflection Point yang pertama pada 2016.

Kami lega apabila mendapat tahu bahawa majoriti daripada 200+ pengamal media digital natif yang menyertai kajian diperluaskan ini tidak dibebani kerugian kewangan dashyat seperti penggiat media tradisional. Analisis kami menunjukkan yang ini disebabkan mereka tidak terlalu bergantung kepada pendapatan dari pengiklanan, manakala pembiayaan berbentuk geran untuk media meningkat pada 2020.

Dalam kajian Inflection Point yang pertama, kami mewawancara 100 usahawan media natif digital di Argentina, Brazil, Colombia, dan Mexico. Untuk laporan ini, selain daripada 100 wawancara di keempat-empat negara sama di Amerika Latin, kami menambah lapan negara dan mewawancara pengamal media dari 49 organisasi media digital di Afrika: dari Ghana, Kenya, Nigeria dan Afrika Selatan; dan 52 di Asia Tenggara: dari Indonesia, Filipina, Malaysia, dan Thailand.

Diterajui sepasukan 23 pengkaji tempatan yang diketuai pengurus-pengurus rantau, kami mengendalikan wawancara dalam bahasa tempatan setiap negara. Setiap wawancara berdurasi antara 2 dan 3 jam, dan merangkumi 500 soalan yang menyentuh topik kandungan dan impak kewartawanan, kebebasan media dan keselamatan wartawan, sumber pendapatan dan perbelanjaan, struktur dan pengalaman pasukan, penggunaan media sosial, dan teknologi serta inovasi.

Seperti boleh dijangkakan, terdapat perbezaan mengikut rantau di industri media berita digital di Afrika, Asia Tenggara, dan Amerika Latin, yang dihuraikan dalam laporan ini. Tetapi, hakikat yang paling menonjol ketika menyemak data ialah persamaan yang dilihat sesama organisasi berita, ketika mereka berusaha meliputi berita di komuniti masing-masing dan membina model perniagaan mapan.

Meskipun ramai beroperasi dengan peruntukan kewangan relatif kecil, mereka meninggalkam impak yang jauh melangkaui saiz pasukan dan sumber yang tersedia. Ramai daripada mereka bertumpu kepada kewartawanan siasatan dan data, dan lebih daripada 50% pernah memenangi anugerah di peringkat kebangsaan atau antarabangsa yang mengiktiraf usaha mereka.

Inflection Point International merupakan kajian paling mendalam dan meluas yang pernah dilakukan bagi topik media natif digital di Amerika Latin, Asia Tenggara dan Afrika. Seperti perkembangan dalam pelbagai bidang di dunia yang sipi-sipi pasca pandemik hari ini, kami menyifatkan situasi semasa sebagai ancaman yang mencemaskan bercampur aduk dengan pencapaian baharu yang membawa inspirasi.

Rangkaian berita digital yang diliputi kajian ini didirikan oleh pengasas media yang tekad, yang berani menghadap kerajaan yang korup dan kartel antarabangsa yang ganas meskipun berbekalkan sumber yang terhad. Terlalu ramai antara mereka mengambil risiko bagi memperoleh mata pencarian—dan dalam senario paling dashyat, mempertaruhkan nyawa.

Meskipun begitu, laporan ini bukan laungan meminta bantuan atau rayuan terdesak untuk menyelamatkan sekelompok media yang dilanda kesukaran—antara sebab utama adalah ramai pengasas media yang diwawancara keberatan untuk meminta apa-apa bantuan sekali pun. 

Hasrat kami sepanjang laporan ini adalah untuk menyuluhkan perhatian kepada pemain media yang penting dan hanya sekarang mula menerima pengiktirafan yang sewajarnya. Kebanyakan media natif digital dalam laporan ini pernah menyiarkan liputan yang membawa impak ketara dalam kehidupan seharian, termasuk melindungi spesies terlindung, menegakkan kesamarataan gender atau memaksa pegawai kerajaan yang korup untuk meletakkan jawatan setelah tembelang dipecahkan.

Kami berkongsi dapatan dan cadangan kerana kelompok penggerak media ini wajar menerima bantuan untuk memastikan keselamatan mereka terpelihara ketika menentang barisan penguasa, selain bantuan kewangan dan latihan untuk membina organisasi media bebas yang lebih liut dan mampu memenuhi keperluan komuniti—dan demokrasi—untuk tahun-tahun yang mendatang.

Bertugas walaupun dihujani ancaman dan serangan

Perusahaan media baharu dalam laporan ini menghadapi cabaran yang lazim dihadapi mana-mana syarikat pemula, tetapi mereka sering bekerja dalam suasana yang tidak mungkin dibayangkan oleh pengasas perniagaan yang lain—dari serangan dalam talian ke keganasan fizikal.

Di ketiga-tiga rantau, 51% organisasi media dalam kajian ini menyatakan yang mereka pernah menjadi sasaran serangan digital, dan 40% berkata mereka pernah menerima ugutan disebabkan kerja—sekerap setiap minggu, jika tidak setiap hari.

Gangguan dalam talian sudah begitu berleluasa, sehingga banyak organisasi yang diwawancara berkongsi yang mereka mengalami hasut maya hampir setiap masa, di samping kekerasan dan gangguan dalam talian yang lain—kebanyakan di media sosial.

Bagaimana media natif digital menjana pendapatan pada 2019 dan 2020

Untuk lebih memahami keadaan media natif digital sebelum dan sewaktu pandemik, kami bertanya soalan terperinci tentang sumber pendapatan dan perbelanjaan pada 2019 dan 2020. 

Dalam laporan ini, kami menggunakan data dari 2019 untuk mengelakkan sebarang bacaan luar biasa yang bersifat sementara dan disebabkan pandemik COVID-19. Dapatan dari 2020 disertakan hanya apabila terdapat perbezaan yang dirasa wajar diketengahkan.

Perlu dinyatakan di sini yang tidak semua organisasi media yang diwawancara boleh menjawab pertanyaan tentang pendapatan dan kewangan, bahkan ada yang enggan menjawab meskipun kami menjamin privasi. Oleh itu, data kewangan di sini berdasarkan dapatan yang diperoleh dari 141 daripada 201 penggerak media yang diwawancara. Untuk memudahkan perbandingan, semua dapatan, pendapatan dan perbelanjaan ditukar kepada Dolar Amerika, berpandukan kadar pertukaran purata untuk tahun yang dilaporkan.

Di ketiga-tiga rantau kajian, kategori pendapatan utama, dari terbesar ke terkecil, adalah: geran, iklan, perkhidmatan perundingan, perkhidmatan kandungan, dan pendapatan oleh pembaca, untuk kedua-dua tahun.

Sumber pendapatan terbesar merentas media di ketiga-tiga rantau*

Purata peratus pendapatan tahunan pada 2019

Purata peratus pendapatan tahunan pada 2020

Nilai purata dalam Dolar Amerika pada 2019 

Nilai purata dalam Dolar Amerika pada 2020 

Jumlah Pendapatan daripada Geran

28.08%

30.75%

$48,258

$63,597

Jumlah Pendapatan daripada Iklan

23.32%

20.81%

$27,903

$27,323

Jumlah Pendapatan daripada Khidmat Perundingan 

11.96%

10.26%

$17,664

$27,770

Jumlah Pendapatan daripada Khidmat Kandungan

8.28%

6.86%

$10,492

$14,066

Jumlah Pendapatan daripada Pembaca

8.27%

6.49%

$23,180

$21,834

* Jumlah dilaporkan menggabungkan pendapatan daripada sumber saling mirip. 

  • Geran: Termasuk semua dana geran daripada yayasan swasta, pelabur dermawan, dan badan swasta, termasuk Google dan Facebook, serta geran daripada organisasi kerajaan negara asal dan asing. 
  • Pendapatan iklan: Termasuk semua sumber iklan yang dilaporkan, termasuk Google Adsense, iklan bersekutu, rangkaian iklan program, pengiklanan natif dan kandungan ditaja, dan iklan yang dijual oleh agensi dan kakitangan. 
  • Pendapatan daripada khidmat kandungan: Termasuk semua pendapatan daripada sindikasi kandungan, kandungan direka khas untuk organisasi media lain, kandungan yang direka untuk pelanggan dari sektor bukan media, dan khidmat rekacipta atau teknologi 
  • Pendapatan daripada pembaca: Termasuk langganan, yuran keahlian, langganan surat berita, derma daripada individu, pendanaan awam, dan jualan tiket acara
  •  

Paras tinggi pembiayaan geran menarik perhatian kerana dalam kajian di Amerika Latin pada 2016, ia tidak tersenarai sebagai sumber pembiayaan yang utama, di mana pembiayaan geran hanya dilaporkan oleh 16% organisasi media yang menyertai kajian pertama kami.

Pada 2019, bantuan berbentuk geran di segenap media di ketiga-tiga rantau kajian mewakili 28% pendapatan keseluruhan, dan meningkat kepada 31% pada 2020. Purata jumlah geran bagi setiap organisasi media meningkat daripada $48,000 pada 2019 kepada lebih daripada $63,000 pada 2020. Di Amerika Latin, jumlah pembiayaan geran malah lebih tinggi daripada itu. 

Dalam perbincangan tertutup, kami mendapat tahu yang para penderma dan yayasan semakin bimbang bahawa media bebas sudah terlalu bergantung kepada pembiayaan geran, dan kami berkongsi pendapat ini. Tetapi, kemungkinan juga yang bantuan penderma dan pelaburan dermawan yang meningkat menjadi cara kelompok usahawan digital tersebut mengatasi kesukaran semasa “renjatan pandemik.”

Untuk menyesuaikan perspektif, perlu difahami yang disebabkan belanjawan organisasi tersangat kecil, jumlah suntikan kewangan yang kecil berupaya membawa impak yang besar.

Lebih daripada 60% organisasi media natif digital dalam kajian kami melaporkan pendapatan keseluruhan kurang daripada $50,000 pada 2019, manakala 8% melaporkan pendapatan sifar, kerana semua kakitangan mereka ialah sukarelawan.

Tetapi tidak semua beroperasi pada skala sebegitu kecil. Di ketiga-tiga rantau pada 2019, lebih daripada 36% melaporkan pendapatan tahunan melebihi $100,000, manakala 15% melaporkan pendapatan tahunan penengah melebihi $1 juta. 

Kami juga mendapati yang pada 2019, hampir 25% melaporkan keuntungan selepas perbelanjaan.

Pendapatan pengiklanan muncul sebagai kategori pendapatan kedua tertinggi, dan tidak jauh ketinggalan oleh pendapatan geran. Pendapatan pengiklanan penengah per organisasi kekal pada paras stabil iaitu $28,319 pada 2019, dan $27,323 pada 2020.

Untuk lebih memahami bagaimana media pada fasa pertumbuhan yang berlainan merangka model perniagaan, kami menyediakan senarai 30 jenis sumber pendapatan berbeza, yang diperincikan dalam bab berjudul Merangka Model Perniagaan.

Kami sudah lama menyokong usaha mempelbagaikan sumber pendapatan bagi menjamin kebebasan dan kemapanan, tetapi apabila jumlah sumber setiap organisasi media dibandingkan dan diteliti bagi memahami impak ke ats pendapatan tahunan mereka, kami mendapati yang mempunyai lebih banyak sumber tidak semestinya menandakan keadaan yang lebih bagus, dan jumlah optimum adalah sekitar dua sehingga enam sumber.

Mereka yang melaporkan lebih daripada enam sumber tidak semestinya menjana pendapatan lebih tinggi, satu dapatan yang kami anggap cabaran lazim dalam kalangan usahawan: tindakan menjalankan terlalu banyak projek sekaligus boleh menjejaskan prestasi. 

Pasukan dengan pelbagai kemahiran dapat menjana pendapatan lebih tinggi

Antara dapatan paling mengesankan daripada kajian pertama kami ialah impak besar yang diperoleh apabila organisasi media, yang selalunya diterajui wartawan, mengambil bekerja sekurang-kurangnya seorang kakitangan yang bertumpukan jualan dan pembangunan perniagaan. 

Dalam kajian diperluaskan ini, dapatan ini dilihat di ketiga-tiga rantau. Pada 2019, organisasi yang mempunyai seorang kakitangan jualan yang digajikan menjana pendapatan sebanyak enam sehingga sembilan kali ganda berbanding organisasi yang tidak mempunyai kakitangan yang memegang peranan tersebut.

Kali ini, kami juga bertanya gaji yang dibayar kepada kakitangan jualan, dan mendapati yang gaji untuk jawatan jualan dan pembangunan perniagaan adalah sebanyak $200 sehingga $2,000 sebulan, dengan jumlah penengah $733 di peringkat antarabangsa.

Memandangkan impak besar apabila organisasi mempunyai kakitangan digajikan yang berperanan khas menjana pendapatan serta kos upah yang relatif rendah, mengambil bekerja kakitangan jualan dan perniagaan kekal antara cadangan utama kami. 

Dapatan lain yang menarik adalah, organisasi media yang mempunyai kakitangan khusus dalam teknologi dan inovasi melaporkan pendapatan tiga kali ganda—meskipun apabila tiada kakitangan jualan dalam pasukan mereka.

Bilangan besar pemilik wanita dan komuniti minoriti

Antara dapatan yang paling mengagumkan daripada laporan Inflection Point yang pertama adalah yang wanita merangkumi 38% daripada pengasas media dalam kalangan 100 natif digital yang diwawancara di Argentina, Brazil, Colombia dan Mexico. 

Ini ialah perkembangan yang luarbiasa kerana ia menunjukkan bahawa jauh lebih ramai wanita tergolong antara pemilik organisasi media relatif baharu berbanding suratkhabar dan stesen televisyen di pasaran yang sama, di mana pemilikan oleh wanita dilaporkan serendah 1%. 

Dalam kajian ini, kami mendapati yang 32% daripada kesemua pengasas 201 syarikat bawah kajian ialah wanita, walaupun jumlah ini berbeza mengikut rantau dan ketara lebih rendah di Afrika.

Kami juga mendapati yang 25% organisasi melaporkan yang sekurang-kurangnya seorang daripada pengasas mereka berasal dari komuniti minoriti di negara mereka: hampir 30% di Amerika Latin, 25% di Asia Tenggara, dan 20% di Afrika. 

Pembaca sasaran laporan ini

Kami berkongsi dapatan dalam laporan ini dengan hasrat membantu usahawan media digital, tetapi penggerak media tradisional juga boleh memanfaatkan pencerapan yang dibentangkan, memandangkan inovasi digital terus menghakis model perniagaan media tradisional.

Kami sedia maklum yang laporan ini diterbitan pada lagi satu “titik infleksi” dalam sejarah singkat media natif digital. Sementara usahawan media natif digital menentang maklumat salah dan berikhtiar memastikan komuniti mereka peka dan sedia tahu, mereka juga perlu berdepan dengan krisis pasca-pandemik di negara mereka pada masa yang sama ancaman dan serangan menghujani.

Kami berharap dapatan, cadangan dan amalan terbaik dalam laporan ini memberdayakan penggerak media, pembiaya, pakar akademik dan warga lain yang berkongsi misi kami untuk membantu usahawan media natif digital berkembang, berinovasi dan akhir sekali meningkatkan kesedaran awam di komuniti mereka lantas membuka jalan untuk mengukuhkan demokrasi.

Laporan ini dihasilkan/dikeluarkan oleh SembraMedia dengan ihsan Luminate, dan bantuan tambahan daripada CIMA.